
KUALA LUMPUR, 15 April – Tahun 2026 disifatkan sebagai fasa kritikal buat Persatuan Golf Malaysia (MGA) dalam menentukan hala tuju serta kekuatan skuad kebangsaan menjelang Sukan SEA 2027.
- MGA merangka pemilihan awal tujuh lelaki dan lima wanita, kemudian saringan ketat untuk tentukan skuad akhir.
- Program latihan dan pembangunan prestasi dilaksanakan secara agresif serta tersusun bagi persiapan menjadi tuan rumah.
- Sistem kesinambungan diperkenal bagi aliran bakat junior ke skuad elit, selain pertemuan dengan kementerian untuk sokongan penuh.
Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata tempoh ini menjadi penentu utama dalam membentuk barisan terbaik, lebih-lebih lagi apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah temasya itu.
Menurut beliau, semua perancangan termasuk pemilihan pemain, program latihan dan pembangunan prestasi perlu dilaksanakan secara agresif serta tersusun bermula tahun ini.
“Ini tahun yang sangat kritikal untuk kita. Sebagai tuan rumah, tekanan itu memang ada dan persiapan perlu dimulakan dari sekarang, bukan pada saat akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC 2026 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, MGA telah mula merangka pelan pemilihan awal membabitkan tujuh pemain lelaki dan lima pemain wanita sebelum melalui proses saringan ketat bagi membentuk skuad akhir.
Dalam masa sama, pendekatan pembangunan berterusan melalui sistem kesinambungan turut diperkenalkan bagi memastikan aliran bakat dari peringkat junior ke skuad elit negara berjalan lancar.
Tambah beliau, hanya pemain terbaik akan dipilih menerusi ujian kebangsaan dengan sasaran membentuk pasukan paling kompetitif bagi memburu pingat emas di laman sendiri.
MGA juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat bagi membentangkan pelan penuh persiapan, sekali gus memperkukuh sokongan terhadap misi negara di Sukan SEA 2027.