
IPOH, 15 April – Lebih banyak projek pembangunan tanah milik kerajaan dilaksanakan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia menceburi sektor pertanian moden di Perak.
- Kerjasama Pejabat Daerah dan agensi teknikal termasuk Jabatan Pertanian untuk kenal pasti lokasi sesuai.
- Fokus kepada sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi, dengan penekanan penyertaan belia.
- Galakkan pertanian pintar seperti automasi, sensor dan Internet of Things serta fertigasi dan hidroponik berteknologi tinggi.
- Kerjasama dengan FAMA dan MARDI menyediakan latihan, khidmat nasihat teknikal dan bantuan permulaan.
Inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi teknikal termasuk Jabatan Pertanian bagi mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk dimajukan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, tanah yang diluluskan memberi fokus kepada aspek sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi, khususnya melibatkan penyertaan belia.
“Memperluaskan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian moden. Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak menggalakkan pelaksanaan pertanian pintar berasaskan automasi, sensor dan internet of things (IOT).
“Selain itu penggunaan penggunaan sistem fertigasi dan hidroponik berteknologi tinggi yang lebih cekap, produktif serta kurang bergantung kepada tenaga fizikal,” katanya.
Tambahnya, kerjasama turut dijalin dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menyediakan sokongan menyeluruh termasuk latihan, khidmat nasihat teknikal serta bantuan permulaan.
Kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan cadangan projek pertanian belia secara berkelompok sekiranya mempunyai perancangan yang berdaya maju serta sokongan teknikal daripada agensi berkaitan.
Jelasnya, sehingga tahun lalu, seramai 140 belia telah menyertai Program Ladang Kontrak FAMA di negeri itu.