Negeri Sembilan perketat langkah penjimatan, hadkan perjalanan luar negara

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 15 April -Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan langkah penjimatan lebih tegas di semua jabatan, termasuk mengawal penggunaan kenderaan serta tenaga di pejabat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hadkan perjalanan ke luar negara hanya untuk urusan yang memberi impak kepada negeri.
  • Ketua jabatan diminta menyemak semula perancangan program dan kurangkan perbelanjaan pengurusan.
  • Galakkan mesyuarat dalam talian dan kurangkan pergerakan fizikal untuk menjimatkan kos.
  • Elak memanggil pegawai dari Kuala Pilah, Jempol dan Tampin ke Seremban bagi setiap mesyuarat.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berkata pergerakan ke luar negara akan dihadkan hanya bagi urusan yang benar-benar memberi impak kepada negeri.

Selain itu katanya, semua ketua jabatan negeri telah diberi taklimat supaya menyemak semula perancangan program serta mengambil langkah untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan.

Menurut beliau, pendekatan seperti mengurangkan pergerakan fizikal dan mengadakan mesyuarat secara dalam talian juga mampu menjimatkan kos dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Di samping itu, kita tidak perlu meminta pegawai dari Kuala Pilah hadir ke Seremban setiap kali mesyuarat diadakan. Begitu juga dengan pegawai dari Jempol dan Tampin. Perkara ini antara yang kita tekankan supaya mereka bersiap sedia, memandangkan langkah ini akan dilaksanakan bagi mengelakkan peningkatan kos,” katanya dalam sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha proaktif untuk memastikan pengurusan kewangan negeri kekal mampan, di samping berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi oleh konflik geopolitik semasa.