
KUALA LUMPUR, 14 April – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menetapkan hala tuju jelas dalam mengurus krisis tenaga global yang kian meruncing dan dijangka berpanjangan, dengan fokus memastikan bekalan tenaga dan barangan asas kekal stabil.
- Peranan PETRONAS dan perancangan awal untuk menjamin bekalan tenaga mencukupi menghadapi krisis global.
- Subsidi diesel tambahan disasarkan kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan untuk tampan kenaikan kos.
- Peralihan segera kepada tenaga boleh baharu dan pelaksanaan berperingkat biodiesel B15 menggunakan infrastruktur sedia ada bagi meningkatkan daya tahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu digerakkan melalui peranan penting Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) serta perancangan awal bagi menjamin bekalan mencukupi dalam tempoh mendatang.
“Dalam masa sama, langkah menampan kenaikan kos turut diperkukuh menerusi bantuan tambahan subsidi diesel kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah melindungi kesejahteraan rakyat, di samping memastikan setiap langkah dilaksanakan secara berdisiplin dan realistik.
Dalam masa sama, pengurusan permintaan dipertingkat melalui kecekapan penggunaan tenaga, termasuk pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi penjawat awam bermula esok.
Operasi penguatkuasaan seperti Op Tiris turut dipergiat bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan minyak negara.
“Bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import yang tidak menentu,” jelas beliau.
Datuk Seri Anwar berkata, biodiesel dikenal pasti sebagai penyelesaian paling praktikal dalam tempoh terdekat, dengan pelaksanaan kadar adunan B15 secara berperingkat menggunakan infrastruktur sedia ada.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera diambil sementara menunggu sistem baharu dibangunkan sepenuhnya.
“Langkah ini bukan sahaja menstabilkan bekalan semasa, malah memperkukuh daya tahan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.