
MADRID, 14 April– Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, menegaskan pada Isnin (13 Apil) bahawa misi bangkit daripada ketinggalan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.
- Barcelona bertandang ke Metropolitano dengan defisit 0-2 dari perlawanan pertama suku akhir.
- Keputusan meletakkan mereka hampir tersingkir melainkan berjaya melakukan kebangkitan luar biasa di tempat lawan.
- Yamal berkata dia terbiasa memikul tanggungjawab besar dan sudah lali dengan tekanan sejak kecil.
- Hansi Flick kekal yakin, tuntut pemain lebih berani menyerang serta manfaatkan setiap momentum perlawanan.
Barcelona bakal bertandang ke Stadium Metropolitano pada Selasa dengan defisit 0-2 hasil perlawanan pertama suku akhir.
Keputusan itu meletakkan gergasi Catalan tersebut di ambang penyingkiran melainkan mereka mampu melakukan kebangkitan luar biasa di tempat lawan.
“Kami tidak seharusnya menganggap kebangkitan ini sebagai satu keajaiban. Sejak kecil, saya sudah terbiasa memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sepatutnya. Saya sudah lali dengan tekanan ini,” kata Yamal kepada pemberita.
Pemain berusia 18 tahun itu, yang dianggap sebagai permata paling berharga dari akademi La Masia sejak era Lionel Messi, kini menjadi sandaran utama skuad bimbingan Hansi Flick.
Barcelona bakal berdepan tugasan berat dalam aksi Liga Juara-Juara bertemu Atletico Madrid awal pagi nanti, apabila rekod pertemuan terbaharu turut tidak memihak kepada mereka, disingkirkan Atletico dalam pusingan separuh akhir Copa del Rey, bulan lalu.
Bagaimanapun, Hansi Flick menyatakan keyakinan penuh terhadap barisan pemainnya dan menuntut mereka supaya lebih berani menyerang serta memanfaatkan setiap momentum perlawanan untuk menterbalikkan kedudukan agregat. -REUTERS