Perlis tuan rumah Piala Dunia Woodball ke-10

FOTO RTM

KANGAR, 12 April – Perlis bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia Woodball (WCWC) ke-10 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 30 Julai 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan diadakan di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP Kampus Alam Pauh Putra.
  • Dijangka menghimpunkan penyertaan kira-kira 20 negara, memperkukuh profil woodball Malaysia di peringkat antarabangsa.
  • MoU dan kerjasama strategik melibatkan IWbF, AWBF, MWA dan Persatuan Woodball Negeri Perlis; hadir pemimpin antarabangsa tanda komitmen padu.

Kejohanan berprestij itu akan diadakan di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Kamarudin Hussin berkata, kejohanan itu dijangka menghimpunkan penyertaan dari kira-kira 20 negara.

Menurut beliau, pemilihan Perlis sebagai tuan rumah merupakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan sukan woodball di peringkat antarabangsa, sekali gus mengangkat Malaysia, khususnya negeri Perlis, sebagai destinasi penganjuran kejohanan bertaraf dunia.

“Penganjuran ini bukan sahaja memperkasa pembangunan bakat atlet woodball, malah mengeratkan hubungan kerjasama antarabangsa serta menarik penyertaan atlet dari seluruh dunia,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan itu juga dilihat mampu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 dan Tahun Melawat Perlis 2024-2026 sebagai destinasi sukan dan pelancongan terkemuka.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Kerjasama Strategik Kejohanan Piala Dunia Woodball ke-10 serta Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-26 di Laman Woodball, Dataran Dato Sheikh Ahmad.

Kerjasama strategik itu melibatkan International Woodball Federation (IWbF), Asian Woodball Federation (AWBF), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).

Antara yang hadir menyaksikan majlis berkenaan termasuk Presiden IWbF, Sean Weng Chi-Hsiang; Naib Presiden IWbF, Lee Sang Wook; Naib Presiden AWBF, Chong Tien Siong serta Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine.

Kehadiran mereka mencerminkan komitmen padu semua pihak dalam memastikan kejohanan bertaraf dunia itu dapat dianjurkan dengan jayanya.