Rumah terbuka Aidilfitri MPM, eratkan hubungan industri dan komuniti Labuan

Foto RTM Labuan

LABUAN, 11 April– Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri 3.0 dan Majlis Kesyukuran Labuan Port 2026 menjadi platform penting dalam mengukuhkan ukhuwah, selain menghargai pencapaian pembangunan pelabuhan serta mempererat hubungan antara agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran 30 pelajar yatim sebagai inisiatif CSR MPM menyantuni golongan memerlukan.
  • MPM melabur lebih RM20 juta sejak mengambil alih operasi pelabuhan untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur.
  • Penambahbaikan merangkumi dermaga, gudang dan sistem operasi, memperkukuh daya saing sebagai pintu masuk O&G dan barangan pengguna.
  • Komitmen memperkukuh Labuan sebagai hab maritim melalui pendigitalan operasi, peningkatan kecekapan rantaian bekalan dan penerokaan peluang logistik.

Megah Port Management (MPM) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis tersebut bukan sekadar sambutan perayaan, malah mencerminkan rasa kesyukuran atas kemajuan kolektif yang telah dicapai dalam membangunkan Pelabuhan Labuan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran 30 pelajar yatim dari Kompleks Darul Kifayah Labuan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyantuni golongan memerlukan.

Menurut kenyataan itu, sejak mengambil alih operasi pelabuhan pada tahun 2020, MPM telah melaksanakan pelaburan melebihi RM20 juta bagi menaik taraf kemudahan dan infrastruktur.

“Penambahbaikan ini merangkumi kerja-kerja menaik taraf dermaga, kemudahan gudang serta sistem operasi yang lebih cekap sekali gus memperkukuh daya saing Pelabuhan Labuan sebagai pintu masuk utama sektor minyak dan gas (O&G) serta perdagangan barangan pengguna di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Pada masa ini, pelabuhan berkenaan mengendalikan kira-kira 70 peratus kargo berkaitan minyak dan gas serta 30 peratus kargo pengguna.

Ini termasuk aktiviti pemindahan barangan (transshipment) bagi komoditi asas seperti beras dan gula, selain pengendalian kenderaan secara roll-on roll-off (RO-RO).

Mengulas mengenai hala tuju masa depan, MPM menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kedudukan Labuan sebagai hab maritim strategik melalui pendigitalan operasi, peningkatan kecekapan rantaian bekalan serta penerokaan peluang baharu dalam sektor logistik, perkapalan dan pelabuhan.