
DJIBOUTI, 11 April – Presiden Djibouti Ismail Omar Guelleh pada Sabtu mendakwa memenangi pilihan raya presiden yang sekali gus membolehkan beliau mendapat mandat mentadbir negara itu buat penggal keenam berturut -turut.
- Guelleh telah memerintah Djibouti selama 27 tahun dan menonjolkan negara sebagai hab ketenteraan serta maritim antarabangsa.
- Keputusan awal suruhanjaya menunjukkan beliau memperolehi lebih 96 peratus undi, pencabarnya menerima sekitar 3.5 peratus.
- Keputusan hampir menyamai pilihan raya 2021, di mana beliau mendapat lebih 97 peratus selepas pembangkang memboikot.
- Pindaan perlembagaan November lalu menghapuskan had umur maksimum 75 tahun, membolehkannya bertanding semula walaupun pernah berhasrat berundur.
Pemimpin berusia 78 tahun tersebut mengisytiharkan kemenangan menerusi hantaran di media sosial selepas keputusan awal menunjukkan beliau mendahului jauh di hadapan pencabarnya dalam pengundian yang berlangsung pada Jumaat.
Guelleh telah memerintah negara kecil dengan populasi satu juta penduduk itu selama 27 tahun dan berjaya menonjolkan nama Djibouti sebagai hab ketenteraan serta maritim antarabangsa.
Keputusan awal yang diumumkan oleh suruhanjaya pilihan raya menunjukkan Guelleh memperoleh lebih 96 peratus undi berbanding lawannya, Mohamed Farah Samatar daripada parti Pusat Demokratik Bersatu (CDU) yang hanya meraih sekitar 3.5 peratus undi.
Kemenangan besar itu hampir menyamai keputusan pilihan raya 2021 menyaksikan beliau memperoleh lebih 97 peratus undi selepas pilihan raya dipulaukan oleh kebanyakan parti pembangkang.
Meskipun sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berundur pada tahun ini, satu pindaan perlembagaan pada November lalu telah dilakukan menghapuskan had umur maksimum 75 tahun bagi calon presiden, sekali gus membolehkan beliau bertanding semula. – AFP