Aaron Chia-Wooi Yik gagal pertahan kejuaraan di Badminton Asia 2026

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April– Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia 2026 berkubur apabila tersingkir di suku akhir, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron-Wooi Yik tewas kepada Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju 19-21, 28-26, 13-21 dalam pertembungan yang menguji fizikal dan mental.
  • Pasangan Malaysia bergelut sejak awal, gagal mengekang permainan pantas lawan dan menyerah set pertama 19-21.
  • Bangkit dramatik pada set kedua, menewaskan tekanan deuce dan menang tipis 28-26.
  • Set penentuan dikuasai Korea, mendahului 11-5; jurang melebar menyebabkan kekalahan 13-21 dan penamatan kempen Malaysia.

Beraksi di Ningbo, China, pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur selepas tewas 19-21, 28-26, 13-21 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dalam pertembungan yang menguji fizikal dan mental.

Turun selaku pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik dilihat bergelut sejak awal apabila gagal mengekang permainan pantas lawan sebelum menyerah set pertama 19-21.

Namun, mereka bangkit dengan penuh dramatik di set kedua menyelamatkan tekanan demi tekanan dalam aksi ‘deuce’ sebelum menang tipis 28-26, sekali gus menghidupkan semula peluang mempertahankan gelaran.

Harapan itu bagaimanapun tidak bertahan lama.

Set penentuan menyaksikan rentak permainan berubah sepenuhnya apabila pasangan Korea Selatan menguasai gelanggang sebaik sahaja mendahului 11-5, meninggalkan wakil negara yang gagal mencari jawapan.

Jurang mata yang melebar akhirnya memaksa Aaron-Wooi Yik akur tewas 13-21, sekali gus menutup tirai kempen mereka lebih awal daripada jangkaan.

Kekalahan tersebut bukan sahaja menggagalkan misi mempertahankan kejuaraan, malah menandakan berakhirnya cabaran Malaysia di kejohanan berkenaan selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah turut tersingkir di peringkat sama.