Impian Pearly-Thinaah ke separuh akhir lebur di Ningbo

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April Impian beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2026 gagal selepas tersingkir di peringkat suku akhir, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kalah straight set 13-21, 15-21 kepada Li Yi Jing-Luo Xu Min.
  • Gandingan gagal menjaga rentak, kurang kemas di jaring, tidak menyaingi kepantasan lawan.
  • Percubaan bangkit pada set kedua hanya sementara, kelebihan awal tidak dipertahankan.
  • Kekalahan kedua dalam tiga pertemuan, lawan mara ke separuh akhir bertemu pasangan Jepun Fukushima-Mayu.

Turun dengan reputasi selaku pasangan nombor dua dunia nyata tidak mempamerkan permainan sebenar sebelum tunduk straight set, 13-21, 15-21 kepada wakil tuan rumah, Li Yi Jing-Luo Xu Min di Ningbo.

Sejak set pertama, gandingan negara dilihat gagal menjaga rentak permainan, kurang kemas di jaring dan gagal menyaingi kepantasan lawan yang tampil lebih agresif serta tersusun.

Percubaan bangkit pada set kedua hanya bersifat sementara apabila kelebihan awal tidak berjaya dipertahankan.

Selepas kedudukan terikat 7-7, Yi Jing-Xu Min segera menguasai gelanggang dengan permainan lebih tajam dan disiplin untuk mendahului 11-7 sebelum menutup perlawanan 21-15.

Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan cabaran Malaysia, malah menyaksikan Pearly-Thinaah tewas buat kali kedua dalam tiga pertemuan dengan pasangan ranking kesembilan dunia itu.

Yi Jing-Xu Min kini meneruskan kemaraan ke separuh akhir, berdepan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi memburu slot ke pentas akhir.