
ULASAN BERITA
- Penyeludupan minyak menyebabkan kerugian besar dan boleh memaksa kerajaan struktur semula subsidi, menjejaskan kos sara hidup rakyat.
- Kerajaan perkasakan Op Tiris 4.0 dan tubuhkan JTPAP untuk pemantauan dan tindakan bersepadu membanteras sindiket penyeludupan.
- Kejayaan serbuan kerap, namun usaha berkesan memerlukan kerjasama seluruh masyarakat, sektor swasta dan agensi penguatkuasaan.
Di sebalik subsidi yang dinikmati rakyat, wujud satu aktiviti gelap yang terus menghakis ekonomi negara; penyeludupan minyak bersubsidi melibatkan diesel, petrol dan minyak masak.
Isu ini bukanlah perkara baharu, malah telah sekian lama menjadi cabaran berterusan kepada pihak berkuasa.
Kegiatan tersebut berpunca daripada perbezaan harga yang ketara antara Malaysia dengan negara-negara jiran, sekali gus mendorong segelintir pihak mengambil kesempatan demi meraih keuntungan mudah.
Sikap tamak dan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menyebabkan ketirisan besar kepada ekonomi negara, malah turut mengkhianati hak rakyat yang sepatutnya menikmati manfaat subsidi.
Jika tidak dibendung, kerajaan mungkin terpaksa menstruktur semula subsidi, yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berdasarkan laporan Majlis Perniagaan EU-ASEAN, kira-kira tiga juta liter petroleum diseludup keluar setiap hari, melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM4.5 juta dalam tempoh 24 jam.
Itu data yang diperoleh sebelum konflik di Asia Barat memuncak. Apabila situasi di Tehran semakin memburuk, termasuk gangguan di Selat Hormuz, ini pastinya merancakkan lagi aktiviti penyeludupan minyak.
Sehubungan itu, kerajaan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan ini melalui pelaksanaan Op Tiris yang dilaksanakan sejak 2023 dan kini diperkasa menerusi Op Tiris 4.0 (bersepadu)
Bagi tempoh 16 Mac hingga 5 April lalu, operasi bersepadu tersebut merekodkan sebanyak 8,148 pemeriksaan. Hasilnya, sebanyak 155 kes penyelewengan dikesan, majoriti melibatkan diesel bersubsidi dengan nilai rampasan melebihi RM2 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri turut memutuskan pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) bagi memperkukuh pemantauan dan tindakan terhadap ketirisan barangan kawalan.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab menyelaras kerjasama antara pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memastikan tindakan lebih bersepadu, cekap dan berkesan di seluruh negara terutama di pintu sempadan.
Kini hampir setiap hari aktiviti penyeludupan berjaya dipatahkan, membuktikan keberkesanan Op Tiris 4.0
Rabu lepas, seorang lelaki tempatan diberkas di Pulau Banggi, Kudat Sabah kerana cuba menyeleweng 800 liter diesel. Semalam pula, cubaan tiga lelaki untuk menyeludup 3-ribu 300 liter diesel menggunakan lori yang diubah suai telah ditumpaskan di Johor Bahru.
Walaupun kejayaan demi kejayaan dilaporkan, usaha membanteras penyeludupan minyak tidak boleh bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.
Sebaliknya memerlukan pendekatan whole-of-society atau segenap masyarakat, melibatkan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Dalam konteks ini, peranan pihak swasta juga tidak kurang pentingnya.
Untuk membanters aktiviti penyelewengan, pengusaha stesen minyak, syarikat logistik serta pemilik depot bahan api perlu mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan, termasuk kawalan terhadap had pembelian dan pengedaran bahan api bersubsidi.
Pasang kamera Litar Tertutup untuk memantau aktiviti mencurigakan. Paling penting, jangan bersekongkol atau terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam aktiviti penyelewengan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
Disamping itu, masyarakat turut memainkan peranan sebagai “mata dan telinga” kepada pihak berkuasa.
Kepekaan terhadap tanda awal seperti pembelian bahan api dalam kuantiti luar biasa, pergerakan kenderaan berat pada waktu tidak munasabah, serta pengubahsuaian kenderaan boleh membantu mengesan kegiatan sindiket lebih awal.
Dalam era digital, masyarakat digalakkan menggunakan teknologi secara berhemah dengan menyalurkan bukti seperti gambar atau video terus kepada pihak berkuasa.
Jangan tularkan bukti itu dalam media sosial pula, kerana tindakan tanpa pengesahan bukan sahaja boleh menjejaskan siasatan, malah berpotensi memberi ruang kepada sindiket untuk melarikan diri atau memusnahkan bukti.
Akhir kalam, jangan kerana mengejar keuntungan yang tidak seberapa, kita sanggup mengkhianati negara sendiri, sedangkan impaknya sangat besar kepada negara dan generasi akan datang.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Jalaluddin Baharin.