Kempen ‘Bangun KL’ galak perubahan waktu perjalanan, kurangkan kesesakan pagi

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 9 April – Usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas waktu puncak diperkukuh menerusi pelancaran kempen ‘Bangun KL’ hasil kolaborasi Jabatan Wilayah Persekutuan bersama ZUS Coffee.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal dengan insentif praktikal seperti diskaun kopi untuk melancarkan aliran trafik waktu puncak.
  • Kerjasama dengan pengusaha gim, termasuk pengurangan yuran lesen sehingga 80%, membolehkan pakej fleksibel bagi mengagihkan pergerakan trafik.
  • Kerajaan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak swasta untuk memperluas insentif kepada pekerja dan warga emas.

Inisiatif tersebut menyasarkan perubahan tingkah laku pengguna jalan raya dengan menggalakkan orang ramai memulakan perjalanan lebih awal melalui insentif praktikal, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kira-kira 1.2 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap pagi dan kesesakan sukar dielakkan sekiranya majoriti memilih waktu perjalanan yang sama.

“Jika kita dapat menggalakkan walaupun 10 peratus daripada jumlah tersebut untuk masuk sedikit lebih awal, kesannya boleh menjadi signifikan dalam melancarkan trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kempen berkenaan di sini.

Menurutnya, pendekatan berasaskan insentif seperti diskaun pembelian kopi mampu mendorong perubahan kecil dalam rutin harian yang memberi impak besar terhadap aliran trafik keseluruhan.

“Perubahan kecil seperti menikmati diskaun ini mampu mengalihkan sebahagian kenderaan daripada waktu puncak dan membantu mengurangkan kesesakan,” katanya lagi.

Selain itu, kempen berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek gaya hidup sihat menerusi kerjasama dengan pengusaha gimnasium, termasuk pengurangan yuran lesen sehingga 80 peratus.

Pengusaha gim digalakkan menawarkan pakej fleksibel bagi membolehkan orang ramai bersenam pada waktu awal pagi atau lewat petang, sekali gus membantu mengagihkan pergerakan trafik secara lebih seimbang.

“Bangun KL bertujuan mengagihkan tekanan waktu pagi secara lebih seimbang dan mengembalikan masa kepada rakyat untuk keluarga, kesihatan serta kehidupan berkualiti,” jelas beliau.

Kempen tersebut dilihat sebagai langkah awal dalam membentuk bandar raya yang lebih cekap, mesra penduduk dan berdaya huni melalui perubahan kecil yang konsisten.

Dalam masa sama, kerajaan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak pihak swasta bagi memperluas penawaran insentif kepada orang ramai, termasuk golongan pekerja dan warga emas pada masa hadapan.