MPBN fokus kesiapsiagaan, pencegahan, pengurangan risiko bencana

Penubuhan MPBN merupakan anjakan besar daripada pendekatan lama bersifat berasingan kepada sistem lebih bersepadu dan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 9 April – Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) bagi memperkukuh tadbir urus serta pengurusan risiko bencana negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan kepada sistem pengurusan bencana yang lebih menyeluruh, bersepadu dan dipacu kepimpinan tertinggi negara.
  • Tekanan kepada kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko berbanding tindakan selepas kejadian.
  • Memperkukuh agensi peneraju dan penyelarasan persekutuan-negeri untuk tindak balas pantas, tersusun serta keupayaan operasi lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan majlis itu merupakan anjakan besar daripada pendekatan lama yang bersifat berasingan kepada sistem lebih menyeluruh, bersepadu dan dipacu kepimpinan tertinggi negara.

Langkah itu selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, susulan cabaran perubahan iklim yang menjadikan bencana lebih kerap dan kompleks.

MPBN akan menghimpunkan Menteri Persekutuan, Menteri Besar, Ketua Menteri serta pengurusan tertinggi kerajaan dalam satu platform bagi mempercepat keputusan, memperkemas penyelarasan dan memastikan tindakan lebih berkesan di lapangan.

Pada masa sama, ia menekankan kesiapsiagaan, pencegahan serta pengurangan risiko bencana, berbanding hanya bertindak selepas kejadian berlaku.

Selain itu, peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara akan diperkukuh sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti dan keupayaan operasi.

Kerajaan juga akan mempertingkat penyelarasan antara persekutuan dengan negeri bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

Langkah ini diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan serta melindungi rakyat dan kepentingan negara.