
KUALA LUMPUR, 7 April – Pelajar Malaysia di luar negara secara keseluruhannya berada dalam keadaan selamat walaupun ketika ini berdepan situasi geopolitik semasa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Kementerian Luar bagi memantau kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di luar negara.
- KPT bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memantau kebajikan dan keselamatan pelajar di luar negara.
- Kementerian akan terus menyelaras bantuan khususnya kepada mahasiswa Malaysia di Asia Barat.
- Keutamaan KPT memastikan keselamatan pelajar terjamin dan tindakan diambil berdasarkan situasi setiap negara secara kes demi kes.
Selain itu, Kementerian berkenaan akan terus menyelaras bantuan kepada mahasiswa Malaysia di Asia Barat.
Jelas beliau, keutamaan ketika ini memastikan keselamatan pelajar terjamin serta tindakan diambil berdasarkan situasi di setiap negara.
“Kita akan lihat ..maksudnya kalau sekiranya bantuan diperlukan kita akan kendalikan masalah mereka itu berdasarkan kepada kes demi kes.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat dalam kabinet dan juga dalam jawatankuasa yang dibentuk memerlukan perhatian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang melibatkan pelajar kita, kita akan teruskan usaha membantu mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di sini.
Beliau berkata situasi yang dihadapi pelajar berbeza mengikut negara termasuk dari segi jumlah dan cabaran setempat.