Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di Buntong

Mangsa ditemukan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah akibat ditetak

IPOH, 7 April– Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di Buntong, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menerima maklumat pada pukul 11.10 malam dan segera digerakkan ke lokasi kejadian.
  • Mangsa ditemui terbaring dengan kecederaan parah dipercayai ditetak; diserang sekumpulan suspek bersenjatakan parang; beberapa rakan turut cedera.
  • Seorang suspek ditahan; usaha mengesan suspek lain giat dijalankan; kes disiasat di bawah Seksyen 302, 326 dan 148.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.10 malam.

Jelas beliau, sepasukan polis segera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.

Siasatan awal mendapati mangsa diserang sekumpulan suspek bersenjatakan parang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, ketika kejadian, mangsa berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan.

ACP Muhammad Najib memaklumkan, beberapa rakan mangsa turut cedera.

Mereka kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan.

Kes disiasat bawah Seksyen 302, 326 dan 148 Kanun Keseksaan.