Kuota subsidi: LKIM sedia teliti semula had 50 liter sehari bagi vesel Zon A

Foto APMM

PUTRAJAYA, 6 April – Kerajaan bersedia meneliti penambahan kuota subsidi diesel had 50 liter sehari bagi vesel Zon A yang didakwa tidak lagi selari dengan realiti operasi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • LKIM akan meneliti cadangan penambahbaikan subsidi secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan dan kemampuan kewangan negara.
  • KPKM memahami cabaran nelayan berkaitan peningkatan penggunaan kuasa enjin dan kesan terhadap penggunaan bahan api.
  • Skim subsidi diesel dan petrol sejak 2006 membantu meringankan sebahagian kos operasi nelayan, bukan menanggung keseluruhan kos.
  • Kerajaan menyeru pemahaman terhadap krisis tenaga global yang menjejaskan harga bahan api dan kekal komited mencari keseimbangan bantuan dan kestabilan kewangan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memaklumkan sebarang cadangan penambahbaikan terhadap kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara.

“KPKM turut memahami cabaran dan kebimbangan yang disuarakan nelayan selaras dengan peningkatan penggunaan kuasa enjin yang sekali gus memberi kesan kepada penggunaan bahan api,” menurut kenyataan itu lagi.

LKIM turut menjelaskan skim subsidi diesel dan petrol yang diperkenalkan sejak tahun 2006 bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi nelayan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi penangkapan ikan.

LKIM turut menyeru nelayan dan rakyat memahami cabaran dunia yang kini berdepan krisis tenaga global yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.

Kerajaan bagaimanapun kekal komited untuk mencari keseimbangan terbaik antara membantu nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara.