Penggunaan aplikasi VSP bantu kurangkan jenayah musim perayaan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 April Penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sepanjang Ops Selamat 26 sempena Aidilfitri tahun ini menunjukkan perkembangan positif dalam membantu mengurangkan indeks jenayah semasa musim perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenayah indeks turun 111 kes, daripada 858 ke 747 kes.
  • Aduan melalui modul VSP meningkat daripada 80 kes kepada 150 kes.
  • Modul pemakluman balik kampung naik daripada 8,036 ke 16,889; butang kecemasan meningkat lima ke tujuh kes.
  • Keahlian VSP mencecah 1,705,852 orang, mencerminkan kesedaran dan komitmen masyarakat tinggi.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menerusi kenyataan memaklumkan, jenayah indeks menunjukkan pengurangan sebanyak 111 kes iaitu 747 kes berbanding 858 kes pada 2025.

Dalam tempoh sama turut menunjukkan peningkatan penggunaan modul aduan melalui VSP daripada 80 kes kepada 150 kes.

“Modul pemakluman balik kampung turut mencatat lonjakan daripada 8,036 kepada 16,889, manakala penggunaan butang kecemasan meningkat daripada lima kepada tujuh kes.

“Op Selamat 26 mencatatkan sebanyak 61,122 rumah ditinggalkan yang dilawati manakala 31,636 rondaan MPV,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan positif indeks jenayah disokong rondaan MPV dan lawatan ke rumah ditinggalkan dilaksanakan secara lebih komprehensif.

Sehingga 30 Mac, jumlah keahlian aplikasi VSP telah mencecah seramai 1,705,852 orang sekali gus mencerminkan tahap kesedaran dan komitmen masyarakat yang semakin tinggi dalam usaha pencegahan jenayah bersama PDRM.