Pembiayaan diluluskan meningkat 19 peratus pada 2025 – SME Bank

Prestasi 2025 memperkukuh peranan SME Bank dalam memperkasa ekosistem PMKS

KUALA LUMPUR, 1 April – SME Bank mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun 2025 dengan jumlah kelulusan pembiayaan kira-kira RM4.3 bilion, meningkat 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan berterusan dalam sektor strategik: pembangunan bumiputera, teknologi dan inovasi, pendigitalan, inisiatif iklim, industri halal dan pelancongan.
  • SME Bank memperkukuh peranan pembangunan dengan menyalurkan kira-kira RM3.8 bilion kepada PMKS dan memperluas akses pembiayaan.
  • Sokongan kerajaan melalui peruntukan Belanjawan 2026 dan penyelesaian bersepadu mempercepat pertumbuhan inklusif dan daya tahan PMKS.

Pertumbuhan itu mencerminkan permintaan berterusan dalam sektor strategik utama termasuk pembangunan bumiputera, teknologi dan inovasi, pendigitalan, inisiatif berdaya tahan iklim, industri halal dan pelancongan, selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia dan Kerangka Ekonomi MADANI.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, prestasi pada tahun lepas itu memperkukuh peranan pembangunannya dalam memperkasa ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

“Kira-kira RM3.8 bilion disalurkan kepada PMKS, mencatatkan peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada masa sama, lebih 60 peratus pelanggan menerima pembiayaan berjumlah RM1 juta dan ke bawah, mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memperluas akses kepada usahawan yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pencapaian ini turut diperkukuh melalui kepercayaan kerajaan terhadap peranan SME Bank, dengan hampir RM2 bilion diperuntukkan bawah inisiatif strategik Belanjawan Negara 2026 bagi mempercepat pertumbuhan PMKS yang inklusif dan memperkukuh daya tahan perusahaan dalam ekonomi.

Selain pembiayaan, SME Bank turut menyediakan penyelesaian bersepadu merangkumi pembangunan kapasiti dan khidmat nasihat bersasar.

Tahun lepas, SME Bank telah menyokong lebih 14,500 usahawan melalui pelbagai inisiatif pembangunan, sosial dan keterangkuman kewangan.

Usaha ini menyumbang kepada pengukuhan berterusan ekosistem PMKS Malaysia yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bersamaan lebih RM650 bilion nilai ekonomi.

Sekali gus menekankan peranan penting sektor ini dalam memacu pertumbuhan inklusif, peluang pekerjaan dan daya tahan ekonomi.