
PUTRAJAYA, 1 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai peningkatan tarif baharu elektrik di platform digital.
- Maklumat palsu disebar melalui Facebook, Threads dan WhatsApp menggunakan elemen grafik organisasi berita.
- Kandungan didapati disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI.
- Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Seksyen 233 memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun; orang ramai diingatkan guna platform digital dengan bertanggungjawab.
Kenyataan MCMC menyebut, maklumat palsu itu disebarkan menerusi Facebook, Threads dan WhatsApp serta dipercayai menyalahgunakan elemen reka grafik sebuah organisasi berita.
“Menurut aduan diterima, kandungan disebarkan oleh kesemua individu berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.
“Hasil semakan mendapati, kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI,” menurut MCMC.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Suruhanjaya itu memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.