
SHAH ALAM, 1 April – Malaysia kini berada dalam mod krisis susulan konflik yang berlaku di Asia Barat yang semakin memuncak.
- Menteri menggesa rakyat berjimat dalam penggunaan bahan api sebagai langkah hadapi ketidakstabilan pasaran tenaga.
- Kabinet dimaklumkan situasi Asia Barat dan lonjakan kos tenaga, menandakan tahap kecemasan ekonomi.
- Kerajaan fokus memastikan bekalan minyak dikekalkan dan akan kaji mekanisme baharu jika konflik berterusan.
- Seruan tanggungjawab rakyat: elakkan pembaziran, urus pengangkutan dan perjalanan dengan lebih cekap.
Sehubungan itu,Menteri Pengangkutan Anthony Loke menggesa agar rakyat sentiasa berhemat dalam penggunaan bahan api.
Ujar beliau, Kabinet pada awal hari ini diberi penjelasan mengenai situasi semasa di Asia Barat dan tahap kecemasan apabila kos tenaga meningkat ke paras tertinggi iaitu lebih dari 100 peratus sepanjang bulan lalu.
“Walaupun situasi seperti ini tidak berlaku di negara kita, kita tidak boleh mengambil mudah kerana dalam masa terdekat atau lambat laun, kita juga akan merasai impaknya.
“Walaupun pada masa ini lampu kita masih menyala, stesen minyak masih berfungsi normal, dan bekalan kita tidak terganggu, kita harus sedar bahawa ini adalah sesuatu yang kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh ambil mudah.
“Walaupun kita adalah negara pengeluar minyak, kita tetap bergantung kepada pasaran global dan negara lain untuk bekalan kita.
“Oleh itu, tumpuan kerajaan kini adalah untuk memastikan bekalan minyak dapat dikekalkan.” katanya ketika berucap di Majlis Cek Penyerah Pembiayaan di Shah Alam.
Tambah beliau bekalan minyak negara tidak akan terkesan sehingga Mei depan.
Jelas beliau, kerajaan akan mempertimbang dan memperhalusi mekanisme baharu sekiranya konflik tersebut berlarutan berlarutan.
“Kerajaan menyeru orang ramai supaya bersedia dengan memastikan bahawa setiap dari kita mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kelestarian bekalan,
“Kita perlu memastikan bahawa kita tidak membazirkan sumber kerana tiada sumber yang tidak terhad, semuanya boleh habis.
“Sebagai contoh, dalam pengurusan pengangkutan, kita perlu menggalakkan orang ramai untuk menguruskan perjalanan mereka dengan lebih cekap.” katanya.