Op Pantau: 3,826 warga asing diperiksa

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban

KUALA LUMPUR, 25 Mac– Sebanyak 3,826 pemeriksaan ke atas warga asing dijalankan menerusi Op Pantau yang digerakkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bagi tempoh 24 Mac sehingga semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan dibuat hasil 45 pemantauan untuk memastikan status dan dokumen perjalanan warga asing adalah sah.
  • Pelaksanaan dibuat secara terancang untuk memastikan penguatkuasaan berjalan teratur, terkawal dan berintegriti.
  • JIM melaksanakan pemeriksaan berhemah dan profesional sambil mengambil kira sensitiviti bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menerusi kenyataan memaklumkan pemeriksaan dibuat hasil 45 pemantauan bagi memastikan status serta dokumen perjalanan yang dimiliki warga asing adalah sah.

“Pelaksanaan ini dibuat secara terancang bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan dengan teratur, terkawal dan berintegriti.

“JIM sentiasa melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara berterusan dan berhemah pada setiap masa termasuk ketika musim perayaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama katanya JIM turut mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemerikasaan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan profesional.

“Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam,” ujar beliau.

JIM komited terus mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat.