Bekalan ubat negara stabil walaupun konflik Asia Barat

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Mac – Bekalan ubat-ubatan dalam negara kekal stabil dan terkawal meskipun berlaku konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian KKM menunjukkan kesan konflik dalam jangka pendek adalah minimum.
  • Stok ubat di fasiliti antara satu hingga tiga bulan, sokongan penimbal syarikat konsesi sehingga dua bulan.
  • Pengilang tempatan dan pengimport memantau rantaian bekalan; KKM akan tubuhkan pasukan petugas bersama industri untuk lindungi NEML.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, kesan konflik berkenaan dalam jangka masa pendek adalah minimum berdasarkan penilaian semasa.

Menurut KKM, paras stok ubat di fasiliti kementerian berada antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada keperluan penggunaan, selain disokong stok penimbal tambahan sehingga dua bulan di peringkat syarikat konsesi.

“Pemantauan bekalan ubat dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Sehingga semalam, tiada peningkatan trend gangguan bekalan ubat dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah sehingga tiga bulan dan produk siap sekitar dua bulan.

Dalam masa sama, pengimport terus memantau rantaian bekalan bagi memastikan kelangsungan bekalan ubat.

KKM menegaskan akan terus memantau perkembangan konflik secara teliti serta mengambil langkah proaktif termasuk penubuhan pasukan petugas bersama industri bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat, khususnya melibatkan Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML).