Trafik di beberapa lokasi di lebuh raya utama mulai sesak

Situasi aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Trafik di lebuh raya utama sesak petang ini susulan pertambahan trafik dan kemalangan di beberapa lokasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesesakan dilaporkan di PLUS arah utara: Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng hingga Simpang Pulai, dan Ipoh Utara ke Kuala Kangsar.
  • Beberapa kemalangan turut menyumbang kepada kesesakan, termasuk di Plaza Tol Hutan Kampung dari arah Jitra dan Tanjung Malim ke Lembah Beringin.
  • Arah Pantai Timur dan selatan juga sesak: Bentong ke Bukit Tinggi, Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak, Bandar Ainsdale ke Senawang.
  • Pengguna dinasihatkan rancang perjalanan ikut TTA, berehat secukupnya, dan rujuk maklumat trafik LLM melalui talian bebas tol atau kamera laman rasmi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kesesakan dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara di Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng sehingga Simpang Pulai serta di kedua-dua arah di Ipoh Utara ke Kuala Kangsar dan dari Bertam ke Sungai Petani.

“Beberapa kemalangan yang dilaporkan berlaku turut menyumbang kepada kesesakan seperti di Plaza Tol Hutan Kampung dari arah Jitra dan Tanjung Malim ke Lembah Beringin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bagi arah dari Pantai Timur, kesesakan berlaku dari arah Bentong ke Bukit Tinggi dan Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak manakala trafik ke selatan sesak di Bandar Ainsdale ke Senawang serta di Simpang Renggam ke Sedenak.

“Trafik turut sesak di beberapa lokasi menghala ke Lembah Klang seperti di Bukit Gambir ke Tangkak, Ayer Keroh ke Simpang Ampat dan Pedas Linggi ke Port Dickson,” katanya.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dikeluarkan pihak konsesi dan memastikan mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan pemanduan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau paparan kamera litar tertutup trafik di laman sesawang rasmi agensi berkenaan. – BERNAMA