
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Sektor pelancongan negara tidak perlu panik berdepan ketidaktentuan krisis di Asia Barat.
- Sesuaikan strategi pelancongan segera untuk merebut peluang Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Anggap krisis sebagai norma baharu; siapa cepat menyesuaikan diri akan kekal relevan.
- Urus pembatalan dan pemulangan wang dengan teliti serta profesional untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan.
- Tumpu pasaran ASEAN dan tawarkan pengalaman unik, makanan tempatan, program komuniti serta aktiviti budaya.
Sebaliknya perlu bersedia menyesuaikan strategi pelancongan bagi merebut manfaat bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Jelas Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri, Uzaidi Udanis, walaupun berdepan dengan konflik geopolitik termasuk kenaikan harga minyak, gangguan penerbangan serta pembatalan tempahan, industri pelancongan dalam negara perlu berubah mengikut pasaran semasa, biarpun dunia berdepan konflik.
“Dalam keadaan krisis ini yang paling penting bukan menunggu keadaan kembali normal sebab krisis adalah norma baharu. Tapi siapa yang paling cepat menyesuaikan diri. adakah kita bersedia untuk berubah. Jika berlakunya pembatalan perjalanan ataupun perubahan jadual, saya harap penggiat industri pelancongan uruskan proses pemulangan wang ini dengan penuh berhati-hati dan profesional.Kerana cara kita mengendalikan krisis hari ini akan menentukan tahap kepercayaan pelanggan pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Katanya, asas pelancongan Malaysia masih kukuh kerana sebahagian besar ketibaan pelancong datang dari negara ASEAN.
Penggiat industri perlu segera menyesuaikan diri dengan kehendak pelancong yang kini lebih mencari pengalaman unik dan autentik antaranya makanan tempatan, program komuniti dan aktiviti budaya setempat.