
INDIAN WELLS, 14 Mac – Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Aryna Sabalenka meneruskan pemburuan gelaran sulung di Masters Indian Wells selepas menewaskan pilihan ke-14 dari Republik Czech, Linda Noskova 6-3, 6-4 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
- Sabalenka mara ke final Indian Wells buat kali ketiga dalam kariernya.
- Beliau memenangi 15 daripada 16 perlawanan musim ini; satu kekalahan di final Terbuka Australia kepada Rybakina.
- Dia kata servisnya kunci kejayaan dan bertekad bersedia untuk final sambil berharap ini tahun miliknya.
Kemenangan itu menyaksikan pemain Belarus berkenaan mara ke final kejohanan berstatus WTA 1000 itu buat kali ketiga dalam kariernya.
Sabalenka tampil dalam prestasi meyakinkan musim ini apabila memenangi 15 daripada 16 perlawanan pertama, dengan satu-satunya kekalahan dialami ketika tewas kepada pemain Kazakhstan, Elena Rybakina pada final Terbuka Australia, Januari lalu.
Rybakina berpeluang sekali lagi bertemu Sabalenka di final sekiranya menewaskan pemain Ukraine, Elina Svitolina dalam satu lagi aksi separuh akhir.
“Rasa sangat gembira. Saya sudah tewas dalam beberapa final di sini, jadi kali ini saya mahu pastikan saya benar-benar bersedia pada Ahad nanti. Saya akan tampil dengan permainan terbaik dan berharap ini tahun saya,” kata Sabalenka.
Dalam perlawanan itu, Sabalenka menguasai set pertama apabila memecahkan servis Noskova untuk mendahului 3-1 sebelum sekali lagi meraih ‘break’ bagi mendahului 5-1.
Noskova sempat merapatkan jurang selepas mematahkan servis Sabalenka ketika pemain Belarus itu cuba menamatkan set berkenaan, namun Sabalenka kembali mengawal permainan dan menutup set pertama dengan ace.
Sabalenka kemudian memecahkan servis lawannya pada permainan pembukaan set kedua, kelebihan yang cukup untuk memastikan kemenangan ke atas pemain berusia 21 tahun itu.
Menurut Sabalenka, kekuatan servis menjadi faktor utama kejayaannya menewaskan Noskova yang disifatkannya sebagai pemain berkualiti.
Aksi akhir tersebut bakal menjadi penampilan ke-14 Sabalenka dalam aksi penentuan gelaran kejohanan WTA 1000 sepanjang kariernya.-REUTERS