PDRM siasat kes mudaratkan demokrasi berparlimen, 14 saksi dirakam percakapan

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 13 Mac– Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan susulan kenyataan media Ketua Polis Negara pada 27 Februari.
  • 14 saksi direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
  • Imigresen mengesahkan saksi penting keluar Malaysia melalui KLIA antara Jan dan Feb 2026; polis giat mengesan.
  • PDRM komited menjalankan siasatan telus dan menyeluruh; orang ramai dinasihatkan tidak berspekulasi.

PDRM dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan tersebut dilakukan susulan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara pada 27 Februari lalu.

Setakat ini, seramai 14 saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Hasil semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut mengesahkan terdapat saksi penting telah dikesan keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara Januari hingga Februari 2026,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, PDRM kini giat meneruskan usaha mengesan saksi-saksi tersebut bagi membantu siasatan lanjut.

PDRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan serta prinsip keadilan jenayah negara.