
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan ke atas 15 negara, termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974 berkaitan dengan kapasiti berlebihan struktur dan pengeluaran dalam sektor pembuatan.
- USTR akan tentukan sama ada tindakan, dasar dan amalan berkaitan adalah tidak munasabah atau bersifat diskriminasi serta membebankan perdagangan AS.
- Selepas memulakan siasatan, USTR perlu mengadakan rundingan dengan negara yang tindakan atau amalan sedang disiasat.
- MITI setakat ini masih belum memberi sebarang kemas kini mengenai siasatan tersebut.
Wakil Perdagangan AS (USTR) Jamieson Greer, berkata siasatan tersebut akan menentukan sama ada tindakan, dasar dan amalan berkaitan adalah tidak munasabah atau bersifat diskriminasi serta membebankan atau menyekat perdagangan AS.
“Negara yang tertakluk kepada siasatan ini ialah China, Kesatuan Eropah, Singapura, Switzerland, Norway, Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Korea, Vietnam, Taiwan, Bangladesh, Mexico, Jepun dan India,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Washington pada Rabu.
Beliau berkata usaha perindustrian semula di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump terus menghadapi cabaran yang ketara.
Selepas memulakan siasatan, USTR perlu mengadakan rundingan dengan negara-negara yang tindakan, dasar atau amalannya sedang disiasat.
Pejabat USTR juga telah memohon rundingan dengan kerajaan ekonomi yang terlibat.
Setakat ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih belum memberi sebarang kemas kini mengenai siasatan tersebut.