
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pelabuhan Kuantan giat meningkatkan kapasiti kargo dan kontena selaras dengan peranannya sebagai hub perdagangan utama di Pantai Timur.
- Fokus pembangunan terminal laut dalam KP2, fasa 2 merancang dermaga kira-kira satu kilometer dan tapak simpanan kontena hampir 50 hektar.
- Pelaksanaan jajaran sisihan ECRL dijangka siap akhir 2026, mengukuhkan rangkaian logistik darat dan meningkatkan kapasiti pengendalian kargo.
- Pelabuhan dilihat berpotensi menjadi pelabuhan persinggahan kapal persiaran, menyokong usaha kerajaan mempromosi industri pelancongan maritim.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, bagi merealisasikan hasrat itu, tumpuan kini diberi kepada pembangunan terminal baharu laut dalam (KP2), menerusi projek pembesaran pelabuhan yang telah bermula sejak 2013.
“Fasa 1 yang bermula pada April 2013 telah siap dibina dan mula beroperasi pada Ogos 2018 bagi mengendalikan kargo pukal kering. Sementara itu, fasa 2 kini berada pada peringkat perancangan yang melibatkan pembangunan kira-kira satu kilometer dermaga bagi pengendalian kargo kontena tambahan, selain penyediaan tapak simpanan kontena berkeluasan hampir 50 hektar,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Senator Datuk Leong Ngah Ngah di Parlimen, pagi ini.
Tambahnya, pembinaan jajaran sisihan ke dalam kawasan operasi Pelabuhan Kuantan di bawah Projek Laluan Rl Pantai Timur (ECRL) dijangka siap menjelang akhir 2026.
“Pelaksanan ini dijangka dapat mengukuhkan rangkaian logistik darat nasional terutama di pantai timur terdapat meningkatkan kapasiti pengendalian kargo di pelabuhan kuantan,” katanya.
Menurutnya lagi, kementerian turut melihat potensi pelabuhan berkenaan untuk dibangunkan sebagai pelabuhan persinggahan kapal persiaran, seiring usaha kerajaan memperkasa industri pelancongan maritim negara.