MFL tunggu keputusan rasmi AFC sebelum ambil tindakan

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan beramah mesra dengan anak-anak yatim dan asnaf pada majlis berbuka puasa MFL bersama media./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan mereka tidak akan terburu-buru membuat sebarang keputusan berhubung isu tujuh pemain Harimau Malaya yang kini berdepan tindakan disiplin berkaitan pemalsuan dokumen.

RINGKASAN BERITA AI
  • MFL tidak akan terburu-buru membuat keputusan tentang tujuh pemain; akan tunggu keputusan rasmi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC.
  • Empat pemain tidak dibenarkan beraksi dalam Liga-M sepanjang penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA.
  • Isu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, menimbulkan persoalan mengenai implikasi kepada skuad kebangsaan dan saingan domestik.
  • CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain terhadap hukuman FIFA berkaitan pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan mereka.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata sebarang langkah seterusnya hanya akan dipertimbangkan selepas menerima keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita di peringkat Liga-Malaysia akan membuat kenyataan berkenaan kedudukan pemain terlibat selepas AFC mengeluarkan keputusan rasmi,” katanya selepas majlis berbuka puasa anjuran MFL di sini, semalam.

Sebelum ini, MFL memaklumkan empat daripada tujuh pemain terbabit tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga-M sepanjang tempoh penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA.

Empat pemain itu ialah tiga pemain JDT – Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – serta seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero.

Sementara itu, AFC sebelum ini memaklumkan isu itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika untuk pertimbangan lanjut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai implikasi terhadap skuad kebangsaan dan saingan domestik.

Khamis lalu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain berkenaan terhadap hukuman FIFA berkaitan pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan mereka.

Tujuh pemain terbabit ialah Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Figueiredo, Irazabal dan Palmero.