
TEHRAN, 5 Mei – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan zon kawalan baharu di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia, sekali gus meningkatkan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS).
- IRGC menyatakan pengumuman bukan perubahan pengurusan selat; kapal dagang mesti ikut protokol transit dan koordinasi dengan tentera laut Iran.
- Iran beri amaran kapal yang langgar peraturan boleh dihentikan paksa; kehadiran kuasa asing, terutama AS, dianggap sasaran ketenteraan.
- Media Iran lapor peluru berpandu ke arah kapal AS; AS nafikan, dan Komando Pusat AS kata tentera memusnahkan enam bot kecil Iran.
Menurut penyiar rasmi Iran, IRIB, kawasan itu meliputi pesisir selatan Iran dari Kooh Mobarak hingga ke bandar pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain merangkumi laluan barat antara Pulau Qeshm dan Umm al-Quwain di Teluk Parsi.
Jurucakap IRGC, Hossein Mohebi berkata, pengumuman tersebut bukan perubahan terhadap pengurusan keseluruhan selat itu, sebaliknya menetapkan bahawa kapal dagang yang mematuhi protokol transit serta berkoordinasi dengan tentera laut Iran akan dibenarkan melalui kawasan berkenaan dengan selamat.
Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar peraturan boleh dihentikan secara paksa.
Langkah itu diumumkan sehari selepas Presiden AS, Donald Trump, menyatakan Washington akan membantu membimbing kapal yang terkandas keluar dari kawasan larangan di selat berkenaan.
Markas Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu pusat pemerintahan tertinggi tentera Iran, turut memberi amaran bahawa sebarang kehadiran kuasa asing terutama tentera AS di kawasan itu akan dianggap sasaran ketenteraan.
Media separa rasmi Iran melaporkan dua peluru berpandu didakwa mengenai sebuah kapal tentera Laut AS berhampiran pelabuhan Jask selepas kapal itu dikatakan mengabaikan amaran Iran.
Namun, seorang pegawai kanan AS menafikan dakwaan tersebut, manakala Ketua Komando Pusat AS, Brad Cooper, pula memaklumkan tenteranya memusnahkan enam bot kecil Iran menerusi serangan udara helikopter Apache dan MH-60 Seahawk.
Iran menolak dakwaan itu sebagai propaganda, ketika kedua-dua pihak terus mengemukakan versi bercanggah mengenai perkembangan di laluan maritim paling kritikal dunia tersebut.
Iran mula memperketat kawalan di Selat Hormuz sejak 28 Februari lalu dengan menyekat kapal yang dikaitkan dengan Israel dan AS susulan serangan bersama kedua-dua negara ke atas wilayah Iran.-REUTERS