Konflik Iran lonjak harga minyak global, subsidi RON95 kawal impak kepada rakyat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketegangan konflik di Asia Barat khususnya melibatkan Iran berpotensi memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia susulan peningkatan harga minyak global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi RON95 mengekalkan harga runcit RM1.99 seliter walaupun harga minyak dunia meningkat.
  • Ruang fiskal hasil penjimatan penstrukturan semula subsidi membolehkan kerajaan mengekalkan subsidi, namun bukan mampu bertahan selamanya.
  • Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak mentah membantu mengurangkan impak kenaikan harga terhadap kuasa beli rakyat.

Namun, mekanisme subsidi bahan api yang dilaksanakan kerajaan dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengurangkan impak langsung kenaikan harga minyak.

Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata kerajaan masih mampu mengawal harga runcit petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter meskipun harga minyak dunia meningkat.

Beliau berkata langkah subsidi berkenaan dapat dilaksanakan kerana kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mencukupi hasil penjimatan daripada penstrukturan semula subsidi sebelum ini.

“Kerajaan mempunyai inisiatif fiskal yang mencukupi untuk mengekalkan mekanisme subsidi ini kerana ketika struktur subsidi diperkenalkan, banyak penjimatan telah dibuat.

“Penjimatan itu memberi sumber yang mencukupi bagi memastikan sekiranya berlaku situasi seperti sekarang, kerajaan masih boleh mengekalkan mekanisme sedia ada, namun ia mungkin tidak dapat diteruskan selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi RTM pada Isnin.

Menurut beliau, pendekatan kerajaan menerusi subsidi petrol RON95 merupakan langkah tepat bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara ketika berdepan ketidaktentuan harga minyak global.

Ahmed Razman berkata kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak mentah turut membantu kerajaan mengawal kesan kenaikan harga minyak dunia sekali gus mengurangkan impaknya terhadap kuasa beli rakyat.