Piala Asia Wanita: FIFPRO gesa jaminan keselamatan skuad Iran

Presiden FIFPRO Asia/Oceania, Beau Busch / REUTERS

GOLD COAST, 9 Mac – Kesatuan pemain global, FIFPRO hari ini menggesa kerajaan Australia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memastikan keselamatan skuad bola sepak wanita Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain Iran enggan menyanyikan lagu kebangsaan pada perlawanan pembukaan, kemudian menyanyi dan memberi tabik hormat, menimbulkan kebimbangan mereka mungkin dipaksa.
  • Satu petisyen di Change.org mendesak Australia beri perlindungan kepada skuad; sehingga Ahad ia mengumpul lebih 51,000 tandatangan.
  • Presiden FIFPRO Asia/Oceania Beau Busch berkata situasi itu amat sukar dan organisasi masih belum dapat menghubungi mana-mana pemain.

Pasukan Iran yang situasinya kini menjadi perhatian utama aktivis hak asasi manusia, menamatkan saingan Piala Asia selepas tewas 0-2 kepada Filipina di Stadium Gold Coast, Queensland, Australia.

Kempen pasukan itu bermula hujung minggu lalu, ketika serangan udara dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas tanah air mereka.

Terdahulu, tindakan para pemain yang enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan pada 2 Mac lalu telah mencetuskan kontroversi.

Seorang pengulas rangkaian penyiaran Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting mengkritik tindakan itu dan menyifatkannya sebagai penghinaan tertinggi.

Bagaimanapun, para pemain dilihat kembali menyanyikan lagu kebangsaan serta memberikan tabik hormat sebelum kekalahan kedua mereka menentang pasukan tuan rumah pada Khamis lepas.

Perubahan sikap tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pejuang hak asasi manusia di Australia yang mendakwa para pemain kemungkinan telah dipaksa oleh pegawai kerajaan yang mengiringi mereka.

Foto REUTERS

Susulan itu, satu petisyen telah dilancarkan pada Jumaat di laman sesawang Change.org bagi mendesak Australia memberikan perlindungan (suaka) kepada pasukan tersebut.

Setakat Ahad, petisyen berkenaan telah mengumpul lebih 51,000 tandatangan.

Sementara itu, Presiden FIFPRO Asia/Oceania, Beau Busch menyifatkan, situasi yang dihadapi para pemain sebagai “amat sukar” dan memaklumkan bahawa organisasi itu masih belum dapat menghubungi mana-mana pemain buat masa ini.-REUTERS