
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend menyifatkan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain skuad kebangsaan sebagai keterlaluan.
- Kecewa dengan keputusan rayuan meskipun hukuman telah dikurangkan.
- Anggap hukuman tidak seimbang berbanding kes serupa terdahulu.
- Puji tahap profesionalisme dan integriti pemain sepanjang proses.
- Beri sokongan penuh dan fokus kepada perlawanan kelayakan menentang Vietnam.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Malaysia NT, beliau memaklumkan hukuman yang dikenakan dilihat tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang melibatkan situasi hampir sama.
“Kami kecewa dengan keputusan keseluruhan oleh CAS meskipun terdapat pengurangan terhadap hukuman yang dikenakan. Berdasarkan hujah-hujah yang telah dibentangkan, kami percaya terdapat asas yang kukuh untuk memperoleh keputusan yang berbeza, memandangkan para pemain telah mempamerkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi sepanjang proses ini berlangsung,” menurutnya dalam kenyataan itu.
Beiau turut mengakui tempoh berkenaan merupakan detik sukar buat pemain serta kelab masing-masing yang tetap memberikan sokongan walaupun tidak terlibat dalam isu yang menjadi punca kes tersebut.
“Tanggungjawab kami kini adalah untuk berdiri teguh di belakang para pemain, memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan menentang Vietnam akan datang (Kelayakan Piala Asia 2027), dan memastikan bola sepak Malaysia bangkit dengan lebih kuat daripada pengalaman ini,” tambahnya.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.