
KUALA LUMPUR, 9 Mac– Jumlah kejadian kebakaran di bangunan strata di Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan membimbangkan untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
- Pastikan penyelenggaraan berkala sistem keselamatan kebakaran oleh JMB dan MC supaya peralatan dan proses evakuasi sentiasa berfungsi.
- Pengurusan bangunan perlu bekerjasama rapat dengan JBPM WPKL, manakala penduduk mesti aktif mengenal pasti laluan kecemasan dan mengingatkan JMB atau MC.
- Jangan berlindung di bilik air semasa kebakaran kerana pengudaraan terhad; asap menyebabkan maut, bukan semata-mata melecur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata statistik menunjukkan kes kebakaran di bangunan strata meningkat daripada 68 kes pada 2023 kepada 75 kes pada 2024, sebelum melonjak kepada 86 kes pada 2025.
Trend peningkatan itu menuntut kerjasama antara pihak pengurusan bangunan dan penduduk bagi memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan sentiasa berada pada tahap optimum.
Antara langkah diambil termasuk penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran secara berkala.
“Langkah pertama ialah memastikan penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala oleh semua badan pengurusan bangunan termasuk Joint Management Body (JMB) dan Management Corporation (MC) supaya semua peralatan keselamatan dan proses evakuasi sentiasa berfungsi dengan baik,” katanya pada sidang media mengenai Pengukuhan Kesedaran Keselamatan Kebakaran di Bangunan Strata Berketumpatan Tinggi Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur (JBPM WPKL).
Selain itu, pihak pengurusan bangunan juga digalakkan menjalinkan kerjasama rapat dengan JBPM WPKL bagi mendapatkan panduan berkaitan aspek keselamatan kebakaran.
Hannah turut menyeru penduduk supaya memainkan peranan lebih aktif dengan berinteraksi dan mengingatkan pihak JMB atau MC agar penyelenggaraan sistem keselamatan kebakaran dilaksanakan secara konsisten.
Selain mengenal pasti terlebih dahulu laluan keluar kecemasan di bangunan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bilik air bukan tempat selamat untuk berlindung semasa kebakaran kerana ia sering menjadi ruang buntu tanpa laluan keluar dan boleh menyebabkan mangsa sukar dikesan oleh pasukan penyelamat.
“Kebanyakan mangsa kebakaran sebenarnya meninggal dunia akibat terhidu asap, bukannya kerana melecur. Tandas biasanya mempunyai pengudaraan yang sangat terhad. Asap tebal boleh masuk dengan cepat melalui celah pintu atau ruang pengudaraan dan memenuhi ruang tersebut dalam masa yang singkat, menyebabkan mangsa boleh pengsan dalam beberapa minit sahaja,” katanya.
Dalam majlis itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada JBPM WPKL atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan warga Kuala Lumpur, termasuk dalam operasi menyelamat serta bantuan ketika bencana dan kecemasan.
Sebagai tanda penghargaan terhadap peranan jabatan itu, beliau memaklumkan geran sebanyak RM50,000 disalur bagi membantu pembelian peralatan tambahan untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan operasi mereka.