Negara dan dunia kehilangan ilmuwan agung – Anwar

Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al- Attas – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pemergian tokoh pemikir peradaban Islam, Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al- Attas disifatkan sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada dunia keilmuan Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau memberi sumbangan penting kepada perkembangan pemikiran Islam dan sejarah kebudayaan Melayu melalui pemikiran dan karya intelektualnya.
  • Kerajaan meneliti cadangan menjadikan perpustakaan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa sebagai ruang khas memperingati jasa beliau.
  • Perdana Menteri Anwar pernah menimba ilmu daripadanya dan terlibat dalam penerbitan beberapa karya berkaitan pemikiran Islam serta sejarah budaya Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham merupakan antara ilmuwan besar yang pemikiran dan karya intelektualnya memberi sumbangan penting dalam perkembangan pemikiran Islam serta sejarah kebudayaan Melayu.

“Dalam masa sama, kerajaan sedang meneliti cadangan menjadikan perpustakaan di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (International Institute of Islamic Thought and Civilization) sebagai ruang khas bagi memperingati jasa dan sumbangan tokoh ilmuwan berkenaan,” jelas beliau.

Datuk Seri Anwar yang ditemui selepas menyertai solat jenazah Allahyarham turut berkongsi bahawa beliau pernah menimba ilmu daripada tokoh tersebut serta terlibat dalam penerbitan beberapa karyaberkaitan pemikiran Islam dan sejarah budaya Melayu.

Menurutnya lagi, pemergian Allahyarham turut dirasai di peringkat antarabangsa apabila ratusan mesej takziah diterima dari pelbagai negara termasuk Turkiye, Iraq dan Pakistan.

Jenazah Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 12.30 tengah hari tadi.