Polis buru dua suspek curi kabel di Gerik

Foto fail

GERIK, 8 Mac – Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel telekom di Kampung Star Kecil, Kerunai, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit rondaan mengesan kenderaan pacuan empat roda (Triton) di persimpangan Taman 1 Malaysia kira-kira 11.38 malam dan mengejar.
  • Kenderaan MPV dari IPD Gerik turut membantu; pengejaran berlanjutan ke Jalan Gerik Kupang sehingga ke kawasan Baling.
  • Suspek membaling alat pemotong, paku dan kabel ke arah kenderaan polis; kenderaan kemudian terbabas dan melanggar rumah, penghuni tidak cedera.
  • Dalam kenderaan ditemui 20 gulung kabel, telefon bimbit, tiga pemotong kabel, pencungkil besi; kes disiasat bawah Seksyen 379 dan 186.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.52 malam.

Menurutnya, kira-kira pukul 11.38 malam, anggota Unit Kereta Peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pengkalan Hulu berjaya mengesan suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Triton di persimpangan Taman 1 Malaysia sebelum mengejarnya.

Katanya, kenderaan MPV dari IPD Gerik turut membantu dalam operasi mengejar suspek yang melarikan diri menghala ke Jalan Gerik–Kupang sehingga ke kawasan Baling.

Semasa kejadian, salah seorang suspek bertindak membaling alat pemotong, paku serta kabel ke arah kenderaan polis.

Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, kenderaan yang dipandu suspek terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Parit Panjang.

Bagaimanapun, pemilik rumah bersama ibu dan adik perempuannya tidak mengalami kecederaan.

Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemui 20 gulung kabel, sebuah telefon bimbit, tiga pemotong kabel serta satu pencungkil besi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 186 Kanun yang sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.