Dron berteknologi tinggi pantau kesalahan jalan raya, diperluas

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli (dua, kanan) melihat pegawai penguatkuasa mengendalikan dron bagi memantau keadaan lalu lintas pada Majlis Singgah Sahur di Stesen Penguatkuasa Labok. / BERNAMA

MACHANG, 8 Mac– Penggunaan dron berteknologi tinggi diperluas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau kesalahan pengguna jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dron mampu membesarkan imej sehingga 200 kali, memudahkan pengesanan nombor pendaftaran kenderaan dari jarak jauh.
  • Rakaman video dan gambar disimpan automatik untuk tujuan penguatkuasaan dan siasatan lanjut melalui sistem storan.
  • JPJ melatih pengendali dron bertauliah dan menegaskan kesalahan disiasat menggunakan Notis 114, bukan saman terus.

Pelaksanaannya bermula di Kelantan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata penggunaan dron berkenaan mampu membantu penguatkuasaan secara lebih berkesan dalam mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Katanya, dron berteknologi tinggi itu mampu melakukan pembesaran imej sehingga 200 kali, sekali gus membolehkan pegawai penguat kuasa melihat serta mengesan nombor pendaftaran kenderaan dengan jelas walaupun dari jarak jauh.

Dron tersebut juga mampu merakam serta menyimpan video serta gambar secara automatik melalui sistem storan yang disediakan bagi tujuan penguatkuasaan dan siasatan lanjut.

“Pemantauan melalui dron udara ini secara berkesan untuk melihat penguna penguna jalan raya yang melakukan kesalahan, yang akan boleh di ambil tindakan oleh JPJ melalui notis 114.

“Kita akan melihat memantau penguna jalan raya yang melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Singgah Sahur di Stesen Penguatkuasa (SPK) Labok, di Machang, awal pagi tadi.

Menurutnya, bagi memastikan penggunaan dron yang selamat dan mematuhi peraturan, JPJ melatih anggota penguat kuasa sebagai pengendali dron bertauliah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kesalahan yang dikesan melalui dron tidak akan dikenakan saman secara terus, sebaliknya melalui proses siasatan terlebih dahulu menggunakan Notis 114.

Sehingga kini JPJ mempunyai lima unit dron termasuk yang berteknologi tinggi dan kesemuanya akan digunakan dalam Ops Aidilfitri bermula 13 Mac ini bagi memperkukuh pemantauan.

Ini termasuk meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna.