Program Jaulah Ramadan KPM semarakkan penghayatan Ramadan

Foto Kementerian Pendidikan Malaysia

LABUAN, 8 Mac – Program Jaulah Ramadan Komuniti anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan berlangsung di Sekolah Menengah Sains Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan di sini, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menyemarakkan penghayatan Ramadan dan mengeratkan ukhuwah antara agensi kerajaan, sekolah serta komuniti setempat.
  • Penekanan kepada kefahaman Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang menekankan pembentukan insan sejahtera seimbang berasaskan JERI.
  • Program turut mengadakan penyerahan bubur lambuk dan sumbangan duit raya sebagai tanda keprihatinan serta pengukuhan hubungan komuniti.

Program itu bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan warga pendidikan, selain mengeratkan ukhuwah antara agensi kerajaan, pihak sekolah serta komuniti setempat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Ahmad Suhaimi Endut dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan kefahaman semua pihak terhadap Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM).

Beliau berkata teras utama RPM adalah untuk melahirkan insan sejahtera yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI), selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Matlamatnya adalah untuk melahirkan individu yang beradab, berakhlak mulia serta bertanggungjawab terhadap diri dan masyarakat, sekali gus menjadi insan kamil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru sokongan semua pihak untuk bersama-sama membantu usaha kerajaan dalam membangunkan pelan hala tuju pendidikan negara serta memperkukuh asas pendidikan khususnya dari segi akses pendidikan.

Pada program berkenaan turut diadakan penyerahan bubur lambuk serta sumbangan duit raya kepada penerima.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.