PM tegaskan bahaya konspirasi asing terhadap kestabilan negara

Foto BERNAMA

KULIM, 7 Mac -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran mengenai pengaruh dan konspirasi asing yang berpotensi menjejaskan kestabilan negara sekiranya tidak ditangani dengan tegas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua pihak perlu berwaspada dan tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak yang berhasrat mengganggu keselamatan dan kedaulatan negara.
  • Walaupun berbeza pandangan politik, kepentingan negara mesti dijunjung tinggi demi keselamatan dan kestabilan bersama.
  • Pengaruh asing sering melibatkan dana besar serta penggunaan media antarabangsa dan sosial untuk mempengaruhi pihak tertentu.
  • Kerajaan akan bertindak tegas untuk tangani campur tangan, sambil menghargai peranan PDRM dan PGA menjaga keamanan.

Beliau menegaskan semua pihak perlu berwaspada dan tidak terjebak menjadi alat terhadap mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu sehingga boleh menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurutnya, walaupun terdapat perbezaan pandangan politik, kepentingan negara harus sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi negara ini negara kita. Kita mesti selamatkan daripada pengaruh, muslihat dan konspirasi asing,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Bersama Badan Beruniform di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengaruh tersebut sering melibatkan pihak yang mempunyai dana besar dan mampu mempengaruhi pelbagai pihak termasuk melalui media antarabangsa dan media sosial.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus bertindak tegas bagi memastikan negara tidak terdedah kepada sebarang bentuk campur tangan yang boleh menggugat kestabilan dan kepentingan nasional.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PGA yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara.