
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN ) menyokong pendekatan kerajaan Sepanyol yang mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa susulan konflik ketenteraan yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
- Maszlee memuji Pedro Sánchez kerana mengecam tindakan ketenteraan unilateral terhadap Iran sebagai bertentangan dengan Piagam PBB.
- Keputusan Sepanyol menafikan akses pangkalan kepada Amerika Syarikat dianggap pelaksanaan kedaulatan negara dan penghantar mesej keamanan.
- Langkah itu memberi makna konkrit kepada autonomi strategik Eropah serta menunjukkan kebolehan negara Eropah menentukan haluan sendiri.
- KEADILAN menyeru gencatan senjata segera, rundingan difasilitasi PBB, dan menegaskan undang-undang antarabangsa sebagai teras keamanan lestari.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Maszlee Malik berkata, ketegasan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez wajar dipuji berikutan beliau secara terbuka mengecam tindakan ketenteraan unilateral terhadap Iran yang disifatkan sebagai tidak berasas serta melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
“PKR memuji Sepanyol bukan sahaja atas kata-kata, tetapi juga atas tindakan tegasnya.
“Keputusan kerajaan Sepanyol untuk menafikan akses kepada Amerika Syarikat bagi menggunakan pangkalan dan kemudahan ketenteraan di wilayahnya untuk melancarkan operasi perang merupakan satu pelaksanaan kedaulatan negara yang amat signifikan.
“Tindakan ini menghantar mesej yang jelas bahawa sesebuah negara bukanlah landasan pelancaran untuk pengembaraan ketenteraan, sebaliknya berperanan sebagai penjaga keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, langkah Sepanyol itu memberi makna yang lebih konkrit kepada konsep autonomi strategik Eropah, sekali gus membuktikan negara-negara Eropah mampu menentukan haluan sendiri berasaskan prinsip diplomasi dan undang-undang antarabangsa.
Dalam masa sama, KEADILAN menyeru masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha ke arah gencatan senjata segera serta mengembalikan rundingan yang difasilitasi oleh PBB bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat itu.
Menurut beliau, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa tidak seharusnya dilihat sebagai satu kelemahan, sebaliknya merupakan jaminan utama kepada keamanan dan kestabilan global yang berkekalan.