ANGKASA tunggu kelulusan SKM, beli ekuiti dalam bank digital tempatan

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membenarkan pembelian ekuiti dalam bank digital tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • ANGKASA memohon pembiayaan daripada beberapa bank, termasuk bank berkaitan koperasi, untuk tujuan pembelian ekuiti.
  • Bank Negara memberi kelulusan pelaburan sehingga RM200 juta, proses rundingan akhir sedang berjalan.
  • ANGKASA telah meletakkan RM30 juta sebagai deposit untuk menunjukkan komitmen membeli saham.
  • ANGKASA memperuntukkan RM500,000 bagi program CSR tahun ke-15, menyantuni komuniti termasuk koperasi masjid dan rakan media.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya turut memohon daripada beberapa bank termasuk bank berkaitan koperasi untuk keperluan pembiayaan yang membolehkan pembelian ekuiti.

Meskipun Bank Negara (BNM) telah memberi kelulusan untuk pelaburan sehingga RM200 juta barada dalam proses rundingan akhir namun kelulusan SKM perkara utama yang penting ketika ini.

Mengulas lanjut Datuk Seri Fattah berkata agensi itu telah meletakkan sejumlah deposit bagi menunjukkan komitmen untuk membeli saham tersebut.

“Kita sendiri sudah meletakkan RM30 juta sebagai deposit untuk menunjukkan komitmen bahawa ANGKASA berhasrat memiliki dan membeli saham itu. Bagaimanapun,kita mahu menunggu pembayaran penuh yang syaratnya harus mendapat kelulusan SKM terlebih dahulu. Ini kerana setiap pelaburan atau penglibatan ANGKASA dalam bidang perniagaan memerlukan kelulusan suruhanjaya berkenaan.

“Proses kelulusan sedang berjalan dan sebaik sahaja diluluskan, kita akan mengambil tindakan seterusnya untuk meneruskan pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Koperasi Masjid Al-Muttaqin Berhad di ibu negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fattah berkata ANGKASA memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memasuki tahun ke-15 itu.

“Program ini sudah dilaksanakan selama 15 tahun bagi menyantuni komuniti menerusi pelbagai inisiatif kebajikan. Jadi, hari ini kita tidak hanya menyantuni koperasi masjid sahaja tetapi turut melibatkan rakan-rakan media yang menerima bantuan bakul makanan.” katanya lagi.