
KUALA LUMPUR, 5 Mac- Kerajaan menyasarkan pelaksanaan pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kad pengenalan (MyKad) dapat dikuatkuasakan pada hujung tahun ini melalui integrasi terminal MyKasih.
- Kerajaan sasar guna MyKad untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi selepas integrasi terminal MyKasih menjelang hujung tahun.
- Sementara itu pembelian sekarang menggunakan kod QR dan sistem eCOSS sedang digabungkan dengan Kementerian Kewangan.
- Kementerian rekod 951 kes ketirisan minyak masak paket (Jan 2024–Feb 2026) dengan rampasan RM4.5 juta.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pelaksanaan itu sedang melalui proses integrasi sistem antara pangkalan data sedia ada dengan terminal MyKasih yang dijangka ditempatkan di kedai runcit seluruh negara.
“Kita unjurkan sistem itu bersedia menjelang hujung tahun ini. Ketika ini data pembelian masih dikumpulkan melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan kerajaan sedang dalam proses integrasi dengan Kementerian Kewangan.
“Apabila proses itu siap dan terminal MyKasih berada di kedai runcit di seluruh negara, penggunaan MyKad untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi akan dilaksanakan,” katanya selepas Program Edaran Bubur Lambuk dan Insentif CSR Econsave di sini pada Khamis.
Tambah beliau, ketika ini pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan kod QR melalui sistem berkenaan.
“Pada ketika ini, kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.
“Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi,” katanya.
Sejak sistem pemantauan diperkenalkan, beliau berkata kementerian merekodkan sekitar 951 kes ketirisan minyak masak paket bermula Januari 2024 hingga Februari 2026 dengan nilai rampasan berjumlah RM4.5 juta.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac dengan larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.