
MELBOURNE, 5 Mac– Juara dunia empat kali, Max Verstappen mengakui berasa sangat teruja apabila pertama kali melihat jentera baharu Red Bull bagi musim 2026.
- Verstappen kekal berteka-teki mengenai prestasi sebenar pasukan di bawah regulasi teknikal baharu musim ini.
- Beliau kritik pengurusan kuasa bateri yang kerap, anggap ia antiperlumbaan dan mencabar naluri pelumba.
- Optimis selepas data ujian pramusim Bahrain; jentera baru tunjuk ketahanan tanpa masalah teknikal besar.
Beliau bagaimanapun masih berteka-teki mengenai prestasi pasukan di bawah regulasi teknikal baharu yang diperkenalkan musim ini.
Verstappen sebelum ini menyuarakan rasa kurang senang terhadap perubahan peraturan yang memerlukan pelumba menguruskan kuasa bateri dengan lebih kerap pada setiap pusingan.
Beliau menyifatkan tugasan teknikal tersebut sebagai sesuatu yang bersifat “antiperlumbaan” dan mencabar naluri sebenar seorang pelumba.
Musim ini menyaksikan transformasi besar buat Red Bull apabila mereka mula bersaing menggunakan unit kuasa (enjin) binaan kilang sendiri buat kali pertama selepas menamatkan kerjasama dengan Honda.
Ketua Pasukan, Laurent Mekies menyifatkan peralihan itu sebagai cabaran terbesar dalam sejarah pasukan.
Walaupun mengakui banyak perkara yang belum pasti, Verstappen tetap optimis berdasarkan data yang dikumpul sewaktu sesi ujian pramusim di Bahrain.
Beliau menyifatkan kejayaan jentera tersebut melengkapkan banyak pusingan tanpa masalah teknikal yang besar sebagai satu pencapaian yang mengagumkan.
GP Australia di Litar Albert Park hujung minggu ini menggamit kenangan istimewa buat Verstappen kerana ia merupakan lokasi perlumbaan sulung kerjayanya dalam F1.
Beliau bertekad untuk mengoptimumkan prestasi jentera sebaik mungkin bagi memulakan musim ini dengan langkah kanan. -AFP