
PELABUHAN KLANG, 4 Mac – Sebanyak 99 kontena diperiksa dalam Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 yang dilancarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan penahanan kontena disyaki mengandungi sisa elektronik (e-waste) di sini.
- Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 periksa 99 kontena, sejumlah besar didapati mengandungi buangan terjadual termasuk e-waste.
- Kerjasama pelbagai agensi seperti JAS, AKPS, JKDM, LPK dan SIRIM jalankan operasi bersepadu di Pelabuhan Klang.
- Langkah tegas termasuk notis pemulangan dan pendakwaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikenakan terhadap pesalah.
Daripada jumlah itu, pemeriksaan ke atas 45 kontena pada hari pertama mendapati 40 mengandungi buangan terjadual, termasuk 22 dikenal pasti sebagai e-waste.
Pada hari kedua, 54 lagi kontena diperiksa dengan 32 daripadanya mengandungi buangan terjadual, termasuk 25 kontena disahkan sebagai sisa e-waste.
Operasi bersepadu yang bermula 3 Mac itu digerakkan oleh JAS Ibu Pejabat bersama JAS Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta SIRIM Berhad.
Menurut kenyataan media JAS, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengimportan buangan terjadual.
Antara tindakan tegas yang akan diambil termasuk mengeluarkan notis pemulangan semula kontena ke negara asal serta pendakwaan bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tindakan juga boleh diambil bawah Seksyen 43 terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur ditetapkan.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar atau aktiviti pengimportan buangan haram melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS.