
KUANTAN, 4 Mac – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyelesaikan siasatan dalaman berhubung kes seorang pelajarnya yang disyaki memijak al-Quran.
- UMPSA rujuk kertas siasatan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk tindakan lanjut.
- Jawatankuasa khas universiti jalankan siasatan terperinci terhadap insiden.
- Jika disabitkan, pelajar berdepan hukuman termasuk dibuang universiti mengikut Kaedah 58.
- Universiti tidak akan berkompromi terhadap penyebaran kandungan menghasut 3R yang menggugat keharmonian.
Naib Canselornya, Yatimah Alias berkata, kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, siasatan terperinci insiden melibatkan K. Vikneswaran, 21, itu dijalankan olah jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihak universiti.
“Jika sabit kesalahan, pelajar boleh dihukum sehingga membawa kepada hukuman dibuang daripada universiti mengikut merujuk kepada Kaedah 58 (Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti; UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya dalam satu sidang media di sini.
Tegas beliau, pihak universiti tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyebaran kandungan yang menghasut kebencian berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga boleh mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian awam.
Pada 25 Februari lalu, polis menahan seorang penuntut UMPSA bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina agama Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.
Lelaki terbabit kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam.