
KUALA LUMPUR, 4 Mac – MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengekalkan unjuran asasnya bahawa ringgit akan terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan purata sekitar RM4.00, pada 2026.
- MBSB IB menjangka ringgit terus mengukuh sekitar RM4.00 pada 2026.
- Pengukuhan disokong oleh perbezaan kadar faedah AS-Malaysia yang semakin kecil.
- Ringgit dijangka turun naik apabila pasaran menyesuaikan harga mengikut tindakan Fed.
- Dasar monetari Malaysia yang stabil dan pertumbuhan kukuh menyokong keteguhan ringgit.
Menurut bank pelaburan itu, pendorong utama kepada pengukuhan ringgit yang berterusan adalah jangkaan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia yang lebih kecil.
“Kami mengunjurkan dua penurunan sebanyak 25 mata asas (bps) oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini, berbanding pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia pada 2.75 peratus.
“Kami jangka ringgit akan mengalami turun naik apabila pasaran menyesuaikan semula harga berpandukan setiap tindakan Fed,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, katanya inflasi yang tinggi di AS dan risiko geopolitik global masih menjadi faktor luar jangka dalam MBSB.
Sepanjang bulan lepas, kecenderungan peningkatan ringgit telah berterusan, disokong oleh beberapa siri keluaran data ekonomi yang kukuh.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan Indeks Ringgit Wajaran Dagangan (TWRI) MBSB meningkat kepada 102.0 menjelang akhir 2026, mencerminkan keteguhan ringgit secara menyeluruh berbanding mata wang rakan dagang utama.
”Daya tahan ini disokong oleh dasar monetari Malaysia yang stabil dan pertumbuhan ekonomi kukuh, berbanding bank pusat lain yang beralih kepada langkah menurunkan kadar faedah untuk merangsang ekonomi,” katanya.