
PUTRAJAYA, 1 Mac– Tindakan terhadap isu penghinaan agama mesti dilaksanakan mengikut lunas serta proses perundangan yang ditetapkan.
- Kerajaan menegaskan tindakan terhadap penghinaan agama mesti mengikut proses perundangan yang ditetapkan.
- Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran dalam apa jua bentuk.
- Penghinaan terhadap agama lain juga tidak boleh dipandang ringan kerana menggugat keharmonian dan kestabilan negara.
- PDRM menjalankan siasatan lanjut dan masyarakat diminta tidak bertindak melulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan juga, tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk.
Begitu juga terhadap agama-agama lain kerana ia boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.
Mengulas mengenai insiden melibatkan perbuatan memijak al-Quran, Perdana Menteri berkata siasatan lanjut telah dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berharap masyarakat tidak bertindak melulu berhubung perkara tersebut.
“Ini negara hukum. Kita tidak boleh ketepikan prinsip undang-undang dalam pertindakan Islam agama persekutuan.
“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza.