YDP Agong, Raja Permaisuri Agong zahir ucapan Selamat Hari Ibu

Hari Ibu, YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong zahir penghargaan kepada semua ibu di Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu sebagai guru pertama, pelindung dan pembentuk jati diri; asas kepada pembangunan masa depan bangsa.
  • Dari ibu kita belajar nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan.
  • Berbakti kepada ibu dituntut agama dan kunci kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.
  • Baginda menghargai Raja Zarith Sofiah atas ketulusan membesarkan anakanda; menyeru rakyat mendoakan bonda-bonda yang telah pergi.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa ibu merupakan insan terpenting sebagai guru pertama, pelindung serta pembentuk karakter manusia yang menjadi asas kepada pembangunan masa depan bangsa.

“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia. Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa berbakti kepada ibu sebagaimana dituntut dalam agama adalah kunci kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada Raja Zarith Sofiah atas ketulusan dan dedikasi Baginda dalam membesarkan anakanda-anakanda dengan penuh kasih sayang.

Seri Paduka Baginda berdua turut menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan bonda-bonda yang telah pergi mendahului kita.

“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka Baginda.

Ucapan itu mencerminkan keprihatinan institusi diraja dalam menghargai peranan besar seorang ibu dalam membentuk keluarga, masyarakat dan negara.