Pemilik syarikat didenda RM150,000 miliki diesel tanpa lesen

Foto fail/RTM

KUALA TERENGGANU, 1 Mac -Seorang pemilik sebuah syarikat didenda RM150,000 selepas mengaku salah atas kesalahan memiliki lebih 29,000 liter diesel tanpa lesen di Kampung Cacar, Dungun tiga tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilik syarikat didenda RM150,000 selepas mengaku salah memiliki lebih 29,000 liter diesel tanpa lesen.
  • Jika gagal bayar denda, dikenakan tambahan hukuman enam bulan penjara; hasil jualan diesel dan lori ditarik balik.
  • Diesel diisi dalam lima ruang tangki lori; nilai diesel dianggarkan RM68,888.79 dan didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Hasdi Mustafa membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Orang kena saman (OKS) turut dijatuhkan hukuman enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut selain hasil jualan diesel serta lori tangki dilucut hak kepada kerajaan.

Semasa serbuan, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjumpai simpanan minyak diesel itu dalam sebuah lori tangki.

Hasil siasatan mendapati minyak diesel tersebut diisi di dalam lima ruangantangki di dalam lori yang digunakan bagi penghantaran minyak diesel tidak bersubsidi.

OKS mengaku mengambil diesel bernilai keseluruhan RM68,888.79 dari beberapa stesen minyak sekitar Paka dan Dungun bertujuan penyelewengan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa Nur Amirah Mokhtar, manakala Orang kena Saman, OKS diwakili peguam, Mohamad Zaiful Bahri Kamde.