Wisma Putra selaras bantuan konsular di Asia Barat, pantau keselamatan rakyat Malaysia

Wisma Putra

PUTRAJAYA, 1 Mac – Pengembara Malaysia yang terkandas susulan gangguan penerbangan di beberapa negara di Asia Barat diminta berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra menyelaraskan bantuan konsular dan mengaktifkan Bilik Operasi untuk memantau keselamatan warganegara Malaysia di Asia Barat.
  • Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan tidak penting, mendaftar e-Konsular dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
  • Perwakilan diplomatik memberi bantuan kepada rakyat terkandas; hubungi talian kecemasan +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.

Langkah itu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan serta sebarang pelarasan laluan yang dilaksanakan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan memaklumkan situasi keselamatan di Asia Barat ketika ini adalah tidak menentu, termasuk penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara tiba-tiba.

“Perwakilan diplomatik Malaysia telah menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara, antaranya Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Semua individu yang dihubungi kekal selamat,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihaknya sedang memantau secara berterusan perkembangan semasa dan melaksanakan tindak balas konsular yang diselaraskan.

“Keutamaan diberikan kepada keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di negara terjejas,” tambahnya.

Bilik Operasi kementerian di Putrajaya turut diaktifkan bagi menyelaras usaha bantuan konsular.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan dalam masa terdekat, mendaftar keberadaan melalui sistem e-Konsular serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti saluran rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk maklumat terkini.

“Rakyat Malaysia perlu berlindung di tempat yang selamat jika dinasihatkan, dan sentiasa mengikuti laman media sosial rasmi perwakilan diplomatik Malaysia untuk kemas kini tempatan semasa,” katanya.

Bagi bantuan kecemasan konsular, rakyat Malaysia di kawasan terjejas yang tidak dapat menghubungi perwakilan diplomatik boleh menghubungi Bilik Operasi kementerian di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my.